Perlantikan rasmi sebagai guru Bimbingan dan Kaunseling Sepenuh Masa adalah berdasarkan kelayakan akademik dan berkemungkinan mereka juga mempunyai sifat-sifat atau ciri-ciri yang sesuai sebagai seorang guru Bimbingan dan Kaunseling. Terdapat beberapa pandangan tentang sifat atau ciri-ciri untuk menjadi seorang guru Bimbingan dan Kaunseling yang berjaya. Berdasarkan aspek Bimbingan dan Kaunseling Islam, sifat-sifat guru Bimbingan dan Kaunseling adalah beriman dan bertaqwa kepada Allah, jujur dan ikhlas, benar, adil, pemurah dan ramah-tamah, sabar dan tenang, adab dan akhlak, percakapan dan interaksi, toleransi, murah hati dan dermawan, merendah diri,tidak munafik, sentiasa ingin membantu, menepati janji, berilmu serta terlatihdan sesuai (Aziz Salleh, 1994). Hal ini sepatutnya dijadikan suatu kriteria dalam pemilihan untuk perlantikan sebagai kaunselor.
Dalam usaha menolong atau memberikan bimbingan kepada klien, sifat yang perlu ada kepada pembimbing digariskan dalam Islam melalui kitab suci Al-Quran, Surah at-Taubah : 71 :
"Dan orang lelaki dan perempuan yang beriman, di antara
mereka menjadi pemimpin kepada yang lain, mereka menyuruh
mengerjakan yang baik dan melarang daripada mengerjakan
yang jahat dan mereka mendirikan sembahyang."
Gambaran sifat mulia yang perlu ada sebagai pembimbing Islam diperjelaskan lagi melalui Surah al-Imran : 104 :
"Wajiblah ada di antara kamu satu umat (golongan) yang
menyeru (manusia) kepada melakukan kebaikan, menyuruh
berbuat perkara yang baik dan melarang berbuat perkara yang
jahat. Mereka itulah orang yang berjaya ( bahagia)."
Senarai sifat guru Bimbingan dan Kaunseling yang digariskan oleh Brammer,1973 (dalam Amir, 1986), menyatakan bahawa seseorang guru Bimbingan dan Kaunseling perlu memiliki dan mengamalkan sifat-sifat seperti kesedaran tentang diri dan nilai-nilai, mempunyai perasaan, sebagai model, minat kepada manusia dan perubahan sosial, memiliki etika dan bertanggungjawab, berempati, kemesraan dan sikap ambil berat, keikhlasan, hormat dan berperasaan positif serta tegas dan khusus. Sehubungan itu untuk menjadi seorang guru Bimbingan dan Kaunseling yang berjaya, seharusnya memiliki dan mengamalkan sifat-sifat yang berkenaan.
0 comments:
Post a Comment